Jemaah tabligh menangis ketika pembunuh terbunuh

Di penghujung tahun 80an dan di awal tahun 90an, bermacam-macam karkuzari yang kita boleh dengar dari karkun yang baru tangguh dari khuruj di jalan Allah. Satu ketika, saya telah azam untuk keluar tiga hari. Pada masa dulu, di markaz saya karkun amat kurang dan keluar 3 hari pun tasykil dari markaz. Bayangkan saja, malam markaz atau malam sabkuzari pun, tidak sampai 10 orang. Masa itu tahun 1986. Pengharaman tabligh pun masa itu telah berkuat kuasa dari tahun 1985 di Sabah. Beg di buang dari kaki lima masjid ke tanah perkara biasa. Salam tidak berjawab adalah perkara biasa. Walaupun salam itu di beri dalam jarak 10 kaki. Alhamdulillah, semua itu dapat di harungi dengan tabah.

Set taam masa tu, paling canggih kalau ada dapur minyak tanah yang main pam. Itu pun, hanya satu set saja markaz punya. Hadiah dari karkun yang baru tangguh 4 bulan. Jadi, dapur kita, kita guna dapur minyak tanah yang main tarik, turun naik kalau nak hidupkan api. Kalau tercabut satu sumbunya, alamat meletuplah. Pernah sekali dapur meletup dan nasi tertumpah ketanah. Niat sedekahlah pada ayam, semut kerana nasi itu telah kotor. Sebab, kalau nak masak pun, mesti sembunyi sikit. Dan tempatnya pun biasanya jauh sikit dari masjid. Paling canggih kalau dapat masak di bawah kolong dan dapur di hadang dengan kotak supaya tidak terkena angin. Kalau tidak, orang tempatan akan kata kita buat piknik dan buat kotor masjid.

Teruskan cerita, setelah bagi nama esoknya kami keluar dengan masing-masing membawa satu beg kecil untuk muat bedding dan pakaian. Selepas bayan hidayat kami pun keluar dari masjid bandar. Markaz kami terletak di atas bukit dan menuruni tangga sambil masing-masing memikul set taam yang telah di bagi-bagi oleh amir. Masing-masing berebut yang paling besar dan kotor. Biasanya, periuk belanga dan kuali menjadi idaman. Maklumlah, jasbah sudah naik. Dengan membawa periuk yang di bungkus dengan kain sarung buruk, kami bergerak ke stesen bas yang jaraknya lebih kurang 400 meter. Masa tu memang orang tengok cukup pelik. Sebabnya, baju kurta tu ada orang cakap, ” eh…dia orang ni pakai baju kurung macam perempuan” geli juga hati mendengar. Masa tu, saya masih lagi belajar di kolej. Umur lingkungan 19 tahun.

Setelah kami sampai ke tempat yang di tuju, selepas doa di luar bumbung masjid, kami masuk. Tempat ni, kawasan setinggan. Jadi, tiada masalah kerana orang tempatan kebanyakannya umat nabi orang imigran. Selesai mesyuarat kami pun buat kerja yang telah di putus. Saya di putus pergi khususi orang penting di kawasan sekitar.

Ringkaskan cerita, kami telah jumpa satu orang karkun tempatan. Dia karkuzari pada kami berkenaan satu jemaah pakistan yang telah khuruj di Philipine. Pada masa itu, di kampungnya soal senjata api, pistol, senapang adalah perkara biasa. Setiap rumah mesti ada. Paling tidak senapang buatan Libya untuk jaga keselamatan. Jemaah ini terdiri dari enam orang. Dan kesemuanya sudah agak berumur dan janggut pun sudah putih.

Pada pagi itu, katanya, enam orang karkun itu telah masuk ke kampungnya. Mereka semua merasa pelik tetapi tidak ambil peduli. Semua masing-masing buat kerja sendiri. Ada juga terdetik dalam hati mereka ingin bertanya kepada jemaah ini dari mana dan apa tujuan mereka. Oleh kerana mereka ini menggunakan bahasa arab, urdhu dan english, maka niat itu di pendam. Jemaah pakistan yang di hantar dulu, biasanya tiada rahaba orang tempatan. Mereka keluar dengan jasbah yang tinggi untuk sebarkan kerja dakwah ini.

Waktu petang ketika usaha gasyt, 4 orang telah keluar buat gasyt. Satu amir, satu rahaba, satu mutakallim dan satu makmum. Ketika mereka sampai ke satu kawasan yang agak ramai orang, mereka memberi salam. Kawasan itu merupakan kawasan tumpuan penduduk. Ada kedai barangan runcit, gerai minuman dan tempat orang duduk melepak sambil berbual-bual. Kesemua mereka masing-masing memegang senjata berat. Paling tidak sepucuk senapang dan pistol di pinggang.

Sebahagian dari mereka sedang bermain terup. Gelak ketawa, sambil minum minuman keras. Rahaba pun memberi salam. Salam berjawab tapi mereka tidak di pedulikan. Amir suruh lagi beri salam dengan kuat agar salam di sambut lebih ramai. Mereka melihat jemaah itu dengan pandangan yang dingin dan tidak puashati. Amir suruh mutakallim bercakap dalam bahasa english. Mereka di minta supaya berkumpul. Seorang lelaki tempatan yang menjadi pemilik tempat itu, marah kerana rasa terganggu. Dia mengeluarkan pistolnya dan terus menembak mutakallim di dada. Mutakallim rebah dan darah membuak-buak keluar dari dadanya.

” Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah” Itulah perkataan yang keluar dari mulut mutakallim dengan wajah yang berseri dan muka yang tersenyum. Semua jemaah mengangkat tangan, senyum, ada yang berdoa dan bersyukur. Orang tempatan hairan melihat mereka, kerana tidak sedikit pun mereka marah kerana kawan mereka telah di tembak. Pelik, ganjil dan mereka semua berkerumun melihat jemaah tersebut mengangkat kawan mereka balik sambil tersenyum dan mengangkat tangan berdoa. Tiada seorangpun yang menangis.

Keesokan harinya, jemaah pakistan ini keluar lagi buat gasyt. Dan mereka melalui tempat yang berlaku peristiwa syahid kawan mereka. Mereka hairan ( Jemaah ) kerana kawasan ini telah menjadi lengang. Dan orang ramai yang datang bukan dari kalangan orang yang datang semalam. Sebilangannya menangis. Sebilangan yang lain sedang sibuk menyiapkan peralatan mengurus jenazah. Jemaah tersebut datang menghampiri kawasan itu dan bertanya. Walaupun mereka kurang / tidak faham apa yang di perkatakan, namun mereka mendapat tahu bahawa pembunuh yang telah menembak jemaah semalam telah ti tembak mati oleh orang yang tidak di kenali.

Semua jemaah menangis mendengar berita itu. Sekali lagi orang tempatan menjadi pelik kerana mereka menangis atas kematian pembunuh. Sekali lagi orang tempatan berkerumun dan melihat kejadian pelik ini. Mutakallim pun menyampaikan pesanan tidak panjang seperti bayan ( ceramah ) dan tidak ringkas seperti iklan. Mereka berkata ” Sahabat kami mati kemarin adalah mati syahid. Dan kami yakin Allah masukkan dia ke dalam syurga. Itulah sebabnya kami tertawa dan senyum syukur kepada Allah atas anugerahnya kepada kawan kami. Itulah yang kami semua inginkan. Tetapi kematian kawan kamu yang telah di bunuh oleh orang yang kamu tidak kenali itu adalah balasan dari Allah. Dan kami tahu apakah balasan Allah padanya.  Itulah sebabnya kami menangis kerana adakah dia sempat bertaubat atau pun tidak kepada Allah ”

Saya merasa takjub mendengar cerita karkun tempatan ini. Katanya lagi, tempat itu telah menjadi satu kawasan yang maju asbab dari berlakunya peristiwa tersebut.

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Manual robot tercanggih

 

 

Sebelum menyambut aidil adha 2012 yang lepas, saya berbaring di sofa panjang setelah selesai memakan obat kerana sakit di bahagian perut. Kira-kira seminggu sebelum itu, saya di masukkan ke hospital wad kecemasan dan di kesan oleh doctor mengidap penyakit dan di suruh berpuasa.  Sekiranya sekitar jam 8 pagi sewaktu lawatan doctor-doktor termasuk doctor pakar, dan di pastikan penyakit tersebut saya mungkin akan di bedah. Pada masa itu, rasa takut pun ada, ngeri pun ada. Namun saya redho sekiranya perlu untuk pembedahan akan mempercepatkan proses kesembuhan terhadap penyakit saya.

Dalam keadaan berbaring sambil mengingat-ingat keadaan sakit saya itu, tangan saya ligat menukar saluran TV. Tiba-tiba saya melihat satu saluran yang menarik minat saya.

“ Assalamualaikum for all brothers and sister.”

Begitulah pembukaan kata-kata bicara Dr. Zakir naik dalam ceramahnya.

“ Apakah tujuan kita di cipta. Pernahkah kita terfikir seorang pengembara yang mengembara tetapi tidak tahu  ke manakah tujuannya. Seorang akitek yang membina bangunan tetapi tidak tahu, berapakah tingkat bangunan yang hendak di bina, dan apakah bahan-bahan yang di gunakan’’.

Saya termenung panjang memikirkan kata-kata beliau. Dalam keadaan itu, saya memegang perut yang agak terasa sakit sedikit. Saya duduk menukar posisi saya. Suara tv di kuatkan sedikit. Bahasa inggeris sebagai bahasa pengantarnya agak jelas di dengar bila suara dikuatkan sedikit.

“ Saudara, saudari sekalian, setiap barangan yang kita beli di luar seperti peti Tv, telefon bimbit, mesti di sertakan dengan manual pengguna. Dengan manual pengguna inilah kita akan dapat menggunaknan peralatan ini dengan betul dan sempurna. Dengan mengikut manual pengguna inilah, jangka hayat peralatan akan bertambah panjang. Robot yang paling canggih pun pasti ada manualnya. Namun manual robot ini, mestilah lengkap dan tercatat  semua fungsi-fungsi penggunaan. Siapakah di sini tahu, apakah robot yang paling sempurna di cipta?”

Saya memasang telinga. Mendengar dan melihat reaksi beliau dan penonton. Dia kemudiannya tersenyum.

“ Robot yang paling sempurna di ciptakan adalah manusia. Dan manusia itu Allah yang maha agung menciptakannya.”

Saya mengangguk mengiakan kata-katanya.

“ Apakah Allah menyertakan manualnya kepada manusia?”

Audien di fokuskan. Dua puluh saat kemudian kemudian beliau menyambung kata-katanya.

“ Manualnya adalah al Quran dan sunnah. Dengan mengikut dan mengamalkan kedua-duanya, manusia tidak akan sesat dan akan terselamat dari masalah dunia dan akhirat”

Saya tersenyum dan bersyukur dengan mengikuti ceramah beliau. Dalam keadaan sakit itu, saya dapat belajar sesuatu. Saya mula berfikir panjang. Bolehkah manual telefon telefon kita gunakan untuk membaik pulih motorsikal yang rosak?. Selama ini, manusia telah beralih dengan bermacam-macam falsafah.Bermacam-macam doktrin. Semuanya untuk kebaikan manusia. Sigmund frued pakar psikologi bermati-matian mengkaji dan mencipta bermacam-macam teori untuk menyelamatkan manusia. Akhirnya dia sendiri telah menjadi gila. Dan yang paling gila dan tidak waras, adalah Charles Darwin yang mengutarakan teori evolusi. Dia mengatakan beruk telah berevolusi menjadi manusia. Kalau begitu, memang betullah Charkles Darwin itu beruk, kerana dia tidak tahu menilai dan tidak mahu mengakui bahawa Allah itu adalah pencipta bagi segala yang telah di ciptakan.

Abu Zaid

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Karguzari Jemaah Tabligh : Kekuatan Enam perkara/Prinsip ( Six point )

 

Pada bulan mei tahun 1994 bot laju yang kami naiki membelah laut yang biru. Di permukaan laut yang beralun indah itu dapat ku lihat ikan lumba-lumba menari-nari melompat dan menjunam kedalam laut. Hatiku sedikit terhibur dengan telatah ikan yang menari tanpa jemu. Semakin lama semakin jauh kami tinggalkan. Langit cerah. Matahari menyinarkan cahayanya keseluruh pelusuk lautan tanpa tersisa sedikitpun.

Sejak jam 7.00 pagi lagi kami telah bertolak dari pulau Nunukan menuju ke Pulau Tarakan Kaltim indonesia. Pemandu bot dan seorang kawannya tenang sambil menghisap rokok surya. Kami seramai enam orang jemaah yang di hantar ke Indonesia duduk sambil membuat halkah Al quran sepuluh surah terakhir bergilir-gilir. Sekitar dua setengah hingga tiga jam, bot laju yang kami naiki sudah menghampiri pelabuhan Kota Administratif pulau Tarakan. Dari jauh kelihatan banyak bot dan beberapa kapal sedang berlabuh di pelabuhan. Berapa minit kemudian kami sampai di pelabuhan. Perlahan-lahan kami menaiki tangga dan mengangkat bagasi masing-masing. Tambang sekitar Rp 35000.00 seorang sudahpun bertukar tangan. Selesai mengucapkan ribuan terimakasih, kami mengangkat barang-barang kami ke satu sudut dan meletakkannya di tengah-tengah. Selepas memberi nasihat ( zehin) amir iaitu ketua jemaah menyuruh aku untuk membacakan doa ringkas. Doa di aminkan dengan harapan hidayah akan turun kepada kami, penduduk di tempat kami berdiri dan seterusnya seluruh alam.

Di Pulau ini, banyak orang alim, ustaz dan pak kiyai yang memang di segani oleh penduduk tempatan. Bandar yang memanjang dan indah ini kami lihat dengan kebesaran Allah. Tanpa di duga dan di rancang, kami bertemu seramai enam orang dan di putuskan dari Sabah melalui markaz masing-masing menuju ke Tawau. Dari bandar Tawau di sabah inilah kami di hantar ke Pulau Nunukan dan Tarakan. Selepas beberapa hari di mana kami bermula dari kampung Jalan Buntu ( Street Buntu ), Gunung belah dan sampailah kami di sebuah kampung yang saya sudah lupa namanya. Tetapi, di kampung inilah ada seorang Pak Kiyai yang di hormati dan di segani.

Pada hari pertama kami berada di sini, kami menjalankan aktiviti biasa. Sebelum kami berpindah ke kampung ini, kami sudah membuat mesyuarat program sepanjang hari selepas subuh tadi. Saya di tugaskan sebagai taam ( tukang masak ) dengan di ketuai oleh rakan saya. Kami menjalankan tugas dengan taat dan sentiasa menjaga amal agar kekuatan sentiasa ada untuk menarik rahmat Allah yang maha kuasa untuk mendidik hati kami agar sentiasa dekat padaNya.

Pada tahun 1994 itu, dunia masih sibuk dengan kisah penghapusan etnik di Albania, Romania hinggalah kejatuhan Presiden Diktator Nikolai Ceusescu. Pada malam itu seorang rakan saya yang telah di putuskan untuk bayan ( Ceramah ) telah bagi Bayan. Kami semua mendengar dengan khyusuk sehinggalah tasykil. Selepas itu bayan 5 amalan masjid. Ada beberapa orang tempatan bagi nama. Kami seramai 5 orang lagi berpecah dan ikram orang yang duduk berdekatan dengan kami. Pada malam itu sedikit jamuan air teh dan biskut kering di hidangkan. ( Safrah panjang ).

Pada malam keesokannya, seorang rakan saya di putuskan untuk bagi bayan fikir.( Ceramah ). Pada malam itu datang seorang pak Kiyai memakai jubah berwarna putih dan berserban. Kain rida di sangkut di bahunya. Ada beberapa orang anak muridnya ikut bersama-sama dengannya. Pak Kiyai itu berumur lingkungan 60an dan janggut putih hingga kepertengahan dadanya. Dia duduk di hadapan dan anak-anak muridnya duduk di belakang menghormati beliau. Dari air mukanya yang jernih itu, kelihatan beliau bukanlah sembarangan orang kerana duduknya yang sentiasa dalam keadaan berzikir.

Pada malam itu, rakan sejemaah saya memberi bayan fikir yang saya kira hebat kerana beliau orang lama dan paling tua di kalangan kami. Dia menyelitkan sedikit cerita mengenai Nabi Adam. Selesai bayan, tasykil dan doa, satu perkara yang mengejutkan kami semua. Dengan senyum manis, dia memanggil kami semua supaya duduk di hadapannya. Kami berenam duduk berhadapan dengan Pak Kiyai yang di belakang pak kiyai itu bilangan jemaah yang duduk, dua atau tiga kali ganda bilangan kami. Saya berzikir didalam hati. Dan adakalanya bersolawat atas Nabi kekasih kita Rosullullah saw. Sepanjang bayan fikir itu, dia tidak menegur pembayan walau sepatah pun. Selepas kami duduk itu dia pun mula menerangkan kedudukan dan cerita kisah Nabi Adam itu. “ Sebenarnya pak, nabi Adam itu….” dan ceritanya cukup terperinci sehingga kami semua hanya mengangguk-anggukkan kepala. Dalam hati, moga Allah limpahkan rahmat kepada kami, Pak Kiyai yang dengan senang hati sebagai seorang alim mengajar kami dengan penuh hormat dan diplomasi itu sukar untuk di lupakan. Kami mengucapkan ribuan terimakasih dan pertemuan itu berakhir dengan senyum persaudaraan sebagai saudara muslim.

Esoknya selepas subuh, kami buat mesyuarat program. Amir jemaah kami memutuskan supaya bayan enam perkara dan 5 amalan masjid. Saya telah di putuskan untuk bagi bayan fikir. Jantung saya terasa terhenti dan saya menolak. Amir jemaah bagi zehin dan mengatakan sami’na wa ato’na. Saya terdiam. Amir menyuruh saya supaya belajar dengan rakan saya. Rakan saya ini, seorang yang baik hati. Cintanya kepada Allah dengan bacaan Al qurannya menjadikan dia terlupa mengajar saya. Saya dalam istilahnya, orang yang “ sejuk “ dalam jemaah ini. Sudah lama tidak keluar dan amalan sedikit sahaja. Orang yang paling muda dalam jemaah saya adalah saya. Sepanjang hari itu saya jadi gelisah. Saya rasa tidak di pedulikan. Saya mengambil keputusan buat sembahyang hajat, istikhoroh, sembahyang taubat. Saya letakkan seluruh pengharapan saya kepada Allah semata-mata dan belajar meninggalkan makhluk.

Selepas solat maghrib, saya terus bangun dan pergi ke belakang masjid ( ruangan kaki lima di sebalik pintu ) dan bersembahyang dua rakaat minta bantuan Allah dalam keadaan penuh menghinakan diri di hadapanNya. Saya menangis minta bantuan Allah. Iklan jorna sudah berjalan lebih dari 5 minit. Pengiklan memanjang-manjangkan leher melihat keluar. Risau. Para jemaah sudah duduk rapat rapat. Pak Kiyai dengan murid-muridnya bertambah sedikit dari semalam sudahpun duduk menunggu. Selepas berdoa, saya bangun dengan sedikit lutut menggeletar menuju ke hadapan dan berdiri tanpa duduk di bangku. Saya dapat rasakan saya semakin lemah berdiri. Selepas berdoa di dalam hati, saya memuji Allah, selawat kepada junjungan kita Nabi saw, saya mulakan bicara. Saya hanya bayan enam perkara sahaja seringkas dan sepadat-padatnya. Saya hanya bercakap mengenai maksud enam perkara itu satu persatu, kelebihan-kelebihannya dan cara mendapatkannya. Itu sahaja. Ada di antara rakan-rakan saya mengerutkan kening. Hati saya bertambah sayu. Saya berdoa “ Ya Allah, berilah saya faham dan amal apa yang saya katakan ini. Dan berikanlah mereka faham dan berikanlah saya hidayah, rakan-rakan saya, mereka yang ada di sini dan seluruh alam “

Bayan saya selesai tidak sampai dua puluh minit termasuk tasykil. Memang sudah diduga dan di jangka bahawa Pak Kiyai akan memanggil saya. Dalam keadaan penuh harap, takut dan belajar, saya duduk di hadapan Pak Kiyai. 5 orang rakan-rakan saya duduk di belakang. Pak Kiyai melihat saya dengan senyum di bibir. Berambah berseri wajahnya meskipun sudah berumur. Saya duduk di hadapannya dalam jarak kira-kira 3 kaki dan menundukkan kepala. Dia pun berkata;

“Bapak belajar di pesantren mana ?”

“ Saya tidak pernah belajar di mana-mana pesantren Pak Kiyai”

“ Jadi bagaimana bapak bisa berceramah sedemikian?”

“ Pesantren saya hanya dari masjid ke masjid. Dari mushola ke mushola Pak Kiyai. Belajar baiki diri, baiki iman dan amal” Kata saya merendah diri. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum. Saya menarik nafas panjang sambil menundukkan kepala, resah dan gelisah. Kemudian dia menyambung kata-katanya.

“ Cukup tinggi apa yang bapak bicarakan tadi. Bukan sembarangan orang yang bisa berkata sedemikian itu kalau tidak mempunyai ilmu yang cukup tinggi. Apa yang bapak bicarakan tadi mencakupi ruang lingkup kehidupan sebagai seorang muslim yang sempurna. Rukun iman, islam dan ihsan semuanya bapak bicarakan tidak sampai 20 menit. Mengagumkan”.

Apa bila saya mendengar kata-kata Pak Kiyai itu, saya menahan sebak dan bersyukur kepada Allah atas pertolonganNya. Mulai dari hari itu, jemaah kami hanya bagi fikir enam perkara sahaja. Pada malam itu, saya sujud syukur pada Allah dan sayalah orang yang paling gembira sekali kerana Allah hiburkan saya dengan bantuanNya.

Nota : Saya cerita kisah benar ini, bukanlah bertujuan untuk mengada-ngada. Saya sengaja tidak sebut nama dan tempat-tempat tertentu, cuma secara umum sahaja. Ulama-ulama kita yang fikir umat apatah lagi maulana Muhammad Ilyas yang membuat garis panduan untuk kita ikuti ( Enam perkara / six point ) bukanlah sembarang orang. Dia berikan semua hidupnya untuk agama. Fikirnya untuk umat dan agama. Saya hanya mencedok kata-kata ulama ( Maulana Muhamad Ilyas )dan belajar berkata seperti mereka. Kalau kita lakukan dengan ikhlas dan niat untuk belajar, pasti dan pasti Allah akan berikan kefahaman kepada kita dan umat ini. Kepada mereka yang tidak faham kerja agama ini ( Tabligh- panggilan di Malaysia ) janganlah memandang serong pada jemaah ini. Memang ada kelemahan dan kekurangan. Namun perhatikanlah mereka ini. Tegur secara hikmah seperti mana Pak Kiyai tadi dengan rasa hormat dan kasih sayang mengajar tanpa menyelitkan rasa benci dan mencari-cari kesalahan. Pada pekerja-pekerja agama, satu hati itu penting dalam buat kerja agama. Ini hanya pandangan peribadi saya dan tidak menyentuh mana-mana pihak. Moga Allah berikan taufik dan hidayah kepada saya dan seluruh alam. Amin.

Posted in Uncategorized | 7 Komen

Puisi untukku…

Dalam satu mahfum hadis Rosullallah yang bermaksud ” Anas r.a berkata bahawa Rosullallah bersabda, perumpamaan para sahabatku ialah seperti garam dalam makanan. Tanpa garam, makanan tak mungkin akan sedap”. Dalam hadith yang lain, Rosulallah bersabda ” Para sohabatku seumpama bintang, siapa sahaja yang kamu ikuti maka kamu akan mendapat hidayat”. ( Era Ilmu;Fadhilat amal ,Kisah sohabat; ms 264 oleh Maulana Muhammad Zakaria rah.a.)

Aku dan Sahabat.

Sahabat sikit makan…

Aku sikit-sikit makan

Sahabat sikit tidur…

Aku sikit-sikit tidur

Sahabat sikit cakap…

Aku sikit-sikit cakap

Sahabat sikit marah…

Aku sikit-sikit marah

Aku……

Aku sikit sembahyang…

Sahabat sikit-sikit sembahyang

Aku sikit berdoa…

Sahabat sikit-sikit berdoa

Aku sikit taubat…

Sahabat sikit-sikit taubat

Sahabat suka tahajud…

Aku selalu terkejut

Ya Allah…

Ampunilah aku atas kebodohanku…

Atas kekhilafanku…

Atas kelalaianku.

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

” Aku nak kahwin satu lagi “

      Loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan telah tamat. Murid-murid berpusu-pusu keluar dari bilik darjah menuju ke kawasan perhimpunan yang terlindung di bawah pokok. Cuaca terik matahari tidak di rasakan di bawah teduhan pokok yang merimbun. Angin sepoi-sepoi yang bertiup dari arah bukit dapat di rasakan dingin mengelus muka. Aku melangkah ke hadapan semua murid dan memberikan sedikit peringatan dan taklimat. Semua murid-murid mendengar dengan penuh perhatian.

      Selepas menyampaikan pesanan, murid-murid semua bergerak perlahan-lahan menuju ke pintu pagar dan pulang menuju ke rumah masing-masing. Dari arah sekolah ini, aku melihat jauh ke hadapan ke arah tepi sungai yang terletak 50 meter dari sekolah. Beberapa buah bot yang sedang menunggu murid-murid untuk pulang keseberang sungai menanti dengan penuh sabar. Jaket keselamatan sudah tersedia di tepi bot di berikan kepada murid-murid yang menumpang bot. Jaket di pakai, enjin di hidupkan. Murid mengambil tempat duduk masing-masing dan bot pun membelah sungai kinabatangan menuju keseberang.

       Aku masuk ke dalam bilik guru. Setelah menulis nama di buku kehadiran untuk pulang, aku masuk ke dalam bilik. Mengemas buku dan menutup komputer. Rakan-rakan lain sibuk memeriksa buku murid-murid. Sebilangannya pula telah pulang ke rumah masing-masing. Aku masih lagi duduk di kerusiku sambil mencatat sedikit nota persiapan untuk hari esok agar tidak terlupa. Tidak lama kemudian pintu bilik di ketuk. Seorang rakan masuk dan memberi salam. Salam bersambut dan dia mengambil kerusi dan duduk bersandar sambil mengeluh panjang. Kemudian seorang lagi masuk dan memberi salam. Kami berdua serentak menjawab salam dan mempersilakannya duduk. Kami sudah bertiga. Dia tersenyum sambil memandang ke arahku. Bibirnya dijuihkan kearah rakan yang mengeluh panjang itu sambil tersenyum. Aku ikut tersenyum.

“ Kenapa Mat? Macam risau saja aku tengok” Aku memecahkan kesunyian.

“ Dia mau kahwin lagi tu bos. Mau tambah satu lagi.” Ahmad menoleh ke arahnya. Dia menggeleng-gelengkan kepala.

“ Apa pulak kau menggeleng kepala. Tanyalah sama bos.”

“ Tak payahlah tanya sama saya. Kalau mahu kahwin, kahwin sajalah. Bukan susah. Tambah satu lagi “ Aku menyampuk sambil tersenyum.

 “ Begini bos, aku mau kahwin. Perempuan ni pun dah setuju. Dia ikut saja. Kalau aku on, dia pun on lah.”

“ Wah…sudah cukup bagus tu. Kalau aku…aku tidak lepas peluang. Terkam terus” Kami ketawa serentak. Hingga mata berair kerana terlalu geli hati.

 “ Jadi apa masalahnya”

 “ Bini aku”

 “Oooh…itukah?. Biasalah perempuan” “ Bos…kahwin satu lagi tu sunnah. Macam mana bos?. Kata Adam memancing.

 “ Ya. Sohih. Tapi kita kena fahami betul-betul sunnah tu. Ada beberapa perkara yang kita terlepas pandang tentang sunnah. Kita kena pelajari betul-betul. Rosullallah menyuruh kita berkahwin dengan anak dara, sedangkan dia kahwin janda pada permulaannya. Sedangkan isteri ke dua Rosullallah s.a.w pun seorang janda yang telah tua. Saudah r.a namanya. Satu ketika Rosulallah s.a.w pulang dari ghuzwah bersama sahabat-sahabatnya. Ada di antaranya Jabir r.a. Jabir minta izin untuk pulang mendahului Rosullallah s.a.w. Dia berkata “ Ya Rosullallah, aku minta izin mendahului ke Kota madinah. Kerana aku pengantin baru”. Adapun ketika Jabir r.a minta izin pulang, Rosullallah bertanya; adakah anda kahwin dengan gadis atau pun janda?” Jabir menjawab, “ janda”. Rosullallah s.a.w menyambung lagi, “ Mengapa tidak berkahwin dengan gadis yang dapat saling bergurau?” Jabir menjawab, “ Ya Rosullallah s.a.w, ayahku telah meninggal dan meninggalkan anak-anak perempuan yang masih kecil. Maka aku tidak akan membawakan kepada mereka yang sebaya dengan mereka sehingga tidak dapat mendidik dan mengurusi keperluan mereka. ( Sohih bukhari, muslim; Al lu’lu’ wal marjan ). Rosullallah amat menghargai wanita. Apatah lagi wanita yang telah melahirkan anak-anak untuknya seperti Khodijah r.a dan Mariah Al Qibtiyah r.ha ibu kepada Ibrohim r.a yang wafat semasa kecil. Kita seharusnya menghargai wanita seperti mana Rosullallah s.a.w menghargai mereka. Beliau tidak pernah berkahwin dengan wanita lain ketika hayat Sitti Khodijah r.ha. Selepas kewafatan Sitti Khodijah r.ha, itu pun selepas 3 tahun, barulah dia berkahwin dengan janda yang berumur. Selepas itu, barulah dia berkahwin dengan Sitti Aisah r.ha. Nah…kalau kita betul-betul mau ikut sunnah, paling tidak pun, tunggulah isteri kita yang pertama telah tiada. Barulah kita kahwin yang kedua. Itupun janda. Lepas tu, barulah kahwin anak dara. Isteri kita yang pertama pun sudah anak dara. Kenapa mahu kahwin lagi?” Kataku dengan panjang lebar.

 “ Susahlah kalau macam itu bos. Bila baru dapat kahwin.”

 “ Pokoknya sekarang, saya tidak melarang. Sebab, tidak ada seorang lelakipun yang tidak berminat untuk kahwin dua.”

“ Termasuk boslah?” Ahmad memancing.

 “ Ya…termasuk aku”

 “ Jadi bos…? Bila lagi?”

Kami ketawa serentak

 “ Kalau kita menghargai isteri kita, menjadikan rumah itu syurga kita, dan saling menghormati saya fikir, tidaklah ada fikiran macam begitu. Apapun, itu semua jodoh. Allah tidak akan mengubah nasib kita kalau kita tidak berusaha mengubahnya. Begitu juga, Kita tidak akan bertemu jodoh untuk kali ke dua kalau kita tidak mencarinya. Semuanya ketentuan Allah. Jodoh pertemuan, ajal dan rezeki itu termasuk dalam rahsia Allah”

Kedua-dua mereka mengangguk. Aku melihat jam di tangan. Jam satu lima minit.

 “ Eh…lewat sudah ni. Jom kita sembahyang zohor berjemaah.” Kataku sambil bangun dari kerusi. Kami semua keluar dari bilik menuju ke Masjid yang tidak jauh dari sekolah untuk menunaikan fardhu zohor menghadap Allah yang esa.

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Untukmu ibuku…by Abu Zaid Muhammad Izwan on Monday, 06 December 2010 at 10:48

Ibu…betapa pedih dan pilunya hatiku ibu…mengenang tautan kasih yang pernah kau taburkan di hatiku…hatiku karam di lautan rindu yang tidak bertepi ini. Haruman kasihmu yang hilang dari jambangan firdaus hatiku, entah kemana perginya. Ketika hatiku bertasbih merinduimu ibu…pada ketika itulah kau pergi meninggalkan aku…..Sesungguhnya aku telah punahkan jambangan kasih yang ibu pernah sulamkan di hati ini….aku telah pecahkan pasu harapan yang ibu titipkan buatku….Di saat kerinduan dan keresahan inilah, aku mengenangkan darah yang kau tumpahkan, untuk aku hadir melihat bunga yang indah di dunia ini. Melihat betapa indahnya rerama yang terbang menegur sang bunga….Air susu yang kau berikan padaku menghilangkan dahaga dan laparku, Dan kerana itulah aku menjadi dewasa, dan menjadikan aku seorang wira yang gagah di matamu…… Ibu…di atas pusaramu yang merah ini….hanya dapat ku taburkan dedaun dan bunga yang akan layu jua akhirnya. Aku tak dapat lagi mendengar lunaknya suaramu memanggil namaku. Aku tak dapat lagi mendengar lunaknya suaramu mendodoikan aku…ibu apakah masih ada ruang pertemuan kita meski pun dalam mimpiku? Ruang pertemuan untuk aku tunaikan segala janji….Ruang pertemuan untuk aku tunaikan segala impian buatmu….ibu…dalam esak tangisku ini…tak mampu lagi aku hadirkan impianmu, meskipun rembulan masih tersenyum memandangku. Tak mampu lagi aku hadirkan mentari semangat di hatiku….dalam esak tangisku ini…Di pagi muharram yang indah ini, aku berdoa di atas pusaramu. Meski sang burung mengaminkan doaku, sang bunga menadahkan kelopaknya, memohon pengampunan buatku, namun hatiku tetap hancur sehancur-hancurnya ibu.. Dalam pasrah berenang di lautan penyesalan ini…aku memohon ampun padamu ya Allah, ampunilah dosaku…dan ibuku…….. Bismilahhirrahmanirrahim…alhamdulillahhirobbilalamin.Arrahmanirrahim….Allahhumma solli ala saidina muhammad…waalaalihi saidina muhammad….Ya Allah ya tuhanku….Kau ampunilah dosa-dosaku ya Allah. Ampunilah dosa-dosa ibuku ya Allah…Maha suci engkau tuhanku robbilalamin…Ya Allah…kau pandangilah aku dengan rahmatmu ya Allah….Kau pandangilah aku dengan kasih sayangmu ya Allah…Kau berikan ruang bagiku untuk menghapuskan kederhakaan dan dosa ku terhadap ibuku ini….Kau ampunilah ibuku….kau ampunilah dosa-dosanya….Ya Allah…kau jadikan kifarah atas dosanya kerana mengandungkan aku…Darahnya yang di tumpahkan kerana melahirkan aku, dengan linangan airmatanya menahan kepedihan dan kesengsaraan sebagai keampuanan atas dosanya….Kau halalkanlah air susunya yang ku teguk untuk menjadikan aku membesar dan dewasa….sesungguhnya aku amat berdosa padanya ya tuhanku, kerana aku tak sempat meminta dan memohon ampunan darinya….Ya Allah…masihkah ada ruang untukku membalas jasanya….masihkah ada ruang untuk aku berbakti padanya….aku hanya dapat mengharap dalam takut dan harapku pada ampunanmu….ampunilah aku….jadikanlah aku anaknya yang akan mendoakan agar rohnya sejahtera dan aman…. dalam sedu sedan tangisku ini…aku mengharap redhomu ya Allah…aku benar-benar menyesal atas dosa-dosaku padanya…..ampunilah aku ya Allah…Ampunilah ibuku ya Allah….

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

” Kau tidak fahamkah Cikgu? ”

Teruskan membaca

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Tawakal anjing dan tawakal manusia.

Satu ketika aku baru sampai setelah penat memandu sejauh 128km. Biasanya aku akan singgah di sebuah restoran yang berdekatan dengan sebuah masjid. setelah memesan nescafe aku duduk sambil melihat sekeliling manalah tahu ada kawan-kawan yang singgah untuk aku ajak minum bersama. Namun setelah lama menunggu, tiada siapa pun kawan-kawan yang lalu. Aku terlihat seekor anjing yang sempat menyelongkar tong sampah mencari makanan. Dengan lahap aku terdengar suaranya mengunyah dengan penuh nikmat meskipun aku tidak dapat melihat kepalanya yang masuk kedalam tong sampah itu. Aku tersenyum sendiri kerana melihat anjing yang tiada degre ( ijazah ) itu masih boleh makan dan hidup dengan gembira.

Dari atas masjid pangeran yang letaknya lebih kurang 25 meter itu kedengaran bunyi mikrofon berbunyi ‘ krik…kruk’ menandakan suis telah di hidupkan. Kemudian kedengaran bunyi berdehem sambil menarik hingus untuk membetulkan suara yang bakal di lontarkan. Tidak lama kemudian kedengaranlah suara azan yang merdu berkumandang memecahkan hiruk-pikuk bunyi kenderan yang membingitkan. Aku memanggil pelayan dan membayar RM 1.40 harga nescafe dan mengangkat beg. Alarm kereta di hidupkan. Aku memasukkan beg komputer riba ke dalam kereta, kemudian mengambil kopiah dan terus menaiki tangga menuju ke masjid.

Selesai berwudhu, sembahyang sunat dua rakaat aku memanjatkan doa ke pada Allah. Iqomah di laungkan. Aku berdiri merapati saf sembahyang, berengsot bahu membahu dan merapatkan tumit. Imam mengangkat takbir. Aku pun mengangkat takbir dan hilang dalam rasa khusyuk yang aku cuba terapkan di hati agar mendapat pahala khusyuk meskipun masih belum berjaya. ( Belajar-belajar khusyuk dalam sembahyang ).

Selesai memberikan salam, para jemaah kembali seperti biasa. Aku melihat sekeliling. Di sudut saf sebelah kanan aku terlihat beberapa orang memakai jubah putih dan serban. Dari air muka mereka terlihat ketenangan dan kebersihan jiwa mereka. Mereka mengaminkan doa imam dan aku pun tersentak dari lamunan kemudian ikut mengaminkan doa itu. Selesai berdoa, bersalam-salaman seorang lelaki berdiri dari kalangan jemaah mereka. kemudian dia mengucapkan salam dan memberikan sedikit penerangan berkenaan kepentingan dakwah. Aku duduk di tengah-tengah antara mereka. Para jemaah lain beransur-ansur bangun dan keluar meninggalkan jemaah yang duduk dalam keadaan ijtimae ( berkelompok ).

Selepas memberikan penerangan kepentingan dakwah itu, aku pun bangun dan melangkah perlahan-lahan menuju ke pintu masjid untuk pulang ke rumah. Kemudian seorang lelaki datang dan memberi salam. aku menoleh dan terlihatlah senyumannya yang mesra dan menghulurkan tangan untuk bersalam.

”Anak mahu kemana?” Sapanya.

”Mahu pulang ” jawabku ringkas.

” Anak, nama pak cik ,Zaid. Pak cik dalam khuruj ( Keluar dakwah ) selama 40 hari. Hari ni, hari yang ke 30. Tinggal sepuluh hari lagi.”

” Dari Mana?”

” Semenanjung.” Aku mengangguk.

” Keluar dakwah untuk apa pak cik?”

” Belajar-belajar iman dan takwa. Paling tidak pun belajar tawakal pada Allah.”

” Oh begitu…” Aku mengangguk. Kemudian dia tersenyum dan menyambung lagi.

” Anakku, Bila kita keluar dakwah dan buat kerja agama ini, jangan kita beranggapan kerja agama inilah yang akan selesaikan masalah kita. Kita kena berpaling kepada Allah bahawa Allah lah yang selesaikan masalah kita. Bila kita beranggapan Allahlah yang selesaikan masalah kita, barulah betul. Tapi bila kita beranggapan bahawa usaha ini yang selesaikan masalah kita, maka itulah yang kita dapat. Dua kerja yang sama, penyelesaian yang sama…tetapi natijahnya berbeza. Dalam surah At-Tholaq, ayat 2-3, Allah berfirman yang mahfumnya, ”Barangsiapa yang bertakwa kepada Alla, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya dia akan mencukupkan ( keperluannya). Sesungguhnya Allah telah melaksanakan urusan ( yang di kehendakinya) sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” aku menundukkan kepala sambil mendengar dengan khusyuk.

” Anakku, kalau kita tiada harap dan takut pada Allah, tidak belajar takwa, maka samalah kita dengan burung. Burung keluar dari sarang di waktu lepas subuh, dan kembali pulang sebelum maghrib. Perut mereka berisi makanan. Dan adakalanya mereka akan memberikan anak mereka kenyang dahulu kemudian perut mereka. Tengok kucing itu, sedikit pun tidak pernah bersekolah namun mereka hidup dan boleh makan sehingga satu saat Allah memanggil mereka pulang kepangkuannya.”

Aku tersengih sendiri. aku dapat bayangkan anjing yang tidak ada degre pun masih boleh hidup dengan bangganya di muka bumi ini. aku membuat tafsiran sendiri di dalam hati, kalaulah aku dapat belajar takwa dan melatih diri ini untuk takwa, maka aku akan menjadi orang yang hampir kepada Allah. Kalau tidak…hanya sekadar tawakal sahaja. Kalau sekadar tawakal, adalah lebih baik tawakal burung kerana sentiasa mengingati Allah berbanding tawakalku yang adakalanya melewat-lewatkan sembahyang. Melewat-lewatkan sembahyang itupun sudah merupakan satu keingkaran apatah lagi kalau meninggalkannya. Paling tidak pun, adalah lebih baik tawakal burung atau pun anjing yang sentiasa berzikir dan takutkan Allah berbanding tawakalku yang adakalanya ingkar pada Allah. Moga aku dapat belajar takwa, paling tidakpun melatih tawakal dalam diri ini untuk menuju ketakwaan pada Allah…Amin.

Posted in Uncategorized | 1 Komen

Teguran Allah di bulan ramadhan ( Ramadhan 2010 )

Satu ketika, aku baru balik dari kerja yang aku mesti memandu sejauh 128 kilometer. Dalam keadaan kepenatan aku telah tiba di perkarangan rumah yang hanya lebih kurang 10 minit waktu berbuka. Terasa amat kering tekak kerana hari itu adalah hari yang ketiga berpuasa. Meskipun dalam kepenatan dan badan terlalu letih, aku tetap merasa gembira kerana berjaya melalui hari-hari yang penuh dengan cabaran. Di tempat kerja, di mana aku melayan pelanggan yang terdiri dari anank-anak dan ibubapa, apatah lagi dari rakan-rakan setugas menjadikan aku bertambah letih. Meskipun dalam keletihan itu aku berjaya pulang dan bertemu dengan anak-anak dan isteri yang jauh.

Sebelum ramadhan, aku sempat berpesan kepada anak-anak supaya rajin belajar dan mengikut nasihat ibu. Jangan bergaduh dengan adik beradik, apatah lagi melawan ibu yang aku tiada di sisi mereka. Anak lelakiku yang nombor tiga baru berumur tujuh tahun bertanya..

” pa…kalau kita kuat melawan kita berdosakan?”

aku mengangguk mengiyakan pertanyaannya. Kakaknya yang sulung dan kedua mencebik bibir mengusik anak lelakiku. Dua orang yang terakhir hanya melihat tanpa mengerti apa-apa.

” Ya…berdosa tu. Jangan melawan dengan emak. Dengan kakak pun tidak boleh melawan. Kita mesti menghormati orang yang lebih tua dari kita.”

Syukur alhamdulillah, ketiga-tiga mereka berpuasa termasuklah anak perempuanku yang ke empat walaupun setengah hari. Aku berikan galakan dan galakan agar mereka terus berpuasa setakat mana kemampuan mereka.

Pada hari aku tiba, aku melihat hanya ada empat orang sahaja anak-anak yang ada di rumah. Aku bertanya kepada ibu mereka. Jawapan yang ringkas aku terima.” Bermain “. Berapa minit kemudian, aku lihat dia telah pulang dengan baju yang kotor dan badan berbau peluh. Dia menyengih melihat aku dari jauh. Aku sempat bertanya sama ada dia berpuasa atau tidak. Dia menganggukkan kepala tanda dia berpuasa. Dengan rasa bangganya dia memberitahu bahawa sudah tiga hari dia berpuasa. Aku bertanya lagi sama ada dia ada tak curi-curi minum air. Dengan cepat dia menjawab ” berdosa tu pa” aku terdiam sambil tersenyum. Azan maghrib menandakan waktu berbuka telah tiba. Aku menyuruh anak lelakiku membacakan doa. Dia membaca bismillah kemudian membaca doa berbuka seterusnya doa makan. Kami berbuka dengan satu rasa kepuasan dan nikmat yang tidak terhingga. Tiba-tiba anak lelakiku berkata;

” Pa…bapa pergi masjidkah malam ni?”

“Tidak. Bapa penat. Bapa sembahyang di rumah saja.”

” Terawih?”

” Bapa buat di rumah saja. Kan Rosulullah menyuruh kita bersembahyang sunat bukan sahaja di masjid tetapi di rumah. Jangan jadikan rumah kita seperti kubur, hanya untuk tidur sahaja” Kataku lagi.

” Bolehkah malam ni aku ke masjid?. Dua malam sudah aku mahu pergi tetapi emak larang. Katanya tunggu bapa pulang dulu. Baru minta kebenaran.”

” Janganlah dulu malam ni. Esok baru kita pergi sama-sama. Kenapa abang mahu ke masjid? ( Panggilan anak lelakiku di rumah ).

” Aku banyak dosa pak. Suka lawan ibu…lawan bapa…kakak…lagipun ustaz bagi tau kita mesti selalu minta ampun pada Allah, ibubapa. Macam kami budak-budak ni banyak dosa. Sebab kami nakal, kuat bermain. Lainlah kalau macam bapa. Orang tua mana ada dosa. Bapa tidak nakal…bapa tidak kuat bermain.”

Aku tersentak. Leher tersedak oleh minuman. Mata aku pejamkan menahan kesakitan ditekak. Apatah lagi sakitnya perkataan yang terasa membisa ditelinga. Aku meneguk perlahan-lahan minuman sehingga habis di tekak. Kami berpandangan antara satu dengan lain. Abang memegang gelas dengan kedua belah tangannya sambil melihat ke arahku dan ibunya. Terasa sejuk dalam hatiku mendapat teguran terus dari Allah melalui anakku.

Hari itu, selepas berbuka, aku berkemas-kemas untuk ke masjid. selesai solat maghrib yang hanya aku buat di rumah, aku mengajak anak lelakiku ke masjid untuk menunaikan solat isyak dan terawih. Alhamdulillah…hari itu aku mendapat pengajaran yang menambahkan lagi kecintaanku pada agama dan keluargaku. Amin.

Posted in Uncategorized | 1 Komen

Assalamualaikum

Suatu perjalanan yang amat jauh akan aku tempuhi tanpa teman dan tanpa sesiapa. Dan, hari ini adalah permulaan aku menulis. Meskipun di luar sana hujan yang turun dengan lebatnya, memungkinkan aku akan berhenti, namun aku mengetahuinya kerana di balik hujan itu ada rahmat yang di titipkan. di balik hujan yang turun itu, akan ada benih yang dicambahkan di muka bumi ini.Di balik hujan itu pasti akan ada sinar matahari yang terang. Aku akan teruskan perjalanan dengan catatan demi catatan untuk anak-anak yang akan aku tinggalkan. Catatan demi catatan ini akan hidup selama-lamanya sekiranya ia memberikan manfaat yang berguna untuk hari depan. Kita mungkin mengetahui namun tidak menghayati apa itu tiga perkara yang akan menjadi bekalan kita di sana nanti. Secara umumnya, harta yang dimanfaatkan, ilmu yang berguna diajarkan dan doa anak yang soleh. Jika catatan ini amat berguna untuk anak-anakku nanti, kemudian di semat di hati maka inilah yang akan hidup dan terus hidup. Apatah lagi sekiranya catatan ini di ambil, kemudian di sebarkan maka tercatatlah satu imbalan yang akan berterusan selama-lamanya. Satu perkataan yang berguna dan membawa kita kepada  yang maha pencipta itulah yang pernah dikatakan ( sabdaan Rosullullah ) sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat. Moga Allah berikan kekuatan untuk aku mengamalkan apa yang aku katakan ini.

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen